
“Ini tidak benar. Dia tidak pernah ditahan,” katanya kepada FMT.
FMT difahamkan Voon hanya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu satu siasatan berterusan oleh agensi anti-rasuah itu.
SPRM turut dikatakan cuba menghubungi Voon beberapa kali untuk siasatan ke atas satu video tular, tetapi gagal.
Pegawai SPRM kemudiannya menemui beliau sekitar Taman Kenyalang untuk menjelaskan beliau diperlukan di pejabat Kuching dan menyerahkan notis kepadanya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM.
Terdahulu, Voon hari ini mendakwa beliau ditahan SPRM, selepas diberhentikan pegawainya ketika memandu, dengan kunci keretanya diambil.
Dalam dua video yang dimuat naik ke Facebooknya, Voon berkata beliau merasakan nyawanya terancam dan SPRM patut menghubunginya, bukan memberhentikan beliau di tengah jalan.
Dalam satu daripada video itu, seorang daripada pegawai itu didengar memaklumkan Voon yang mereka hanya menjalankan tugas untuk menyerahkan notis kepadanya bagi pemeriksaan SPRM.
“Jadi, kami menyerahkan notis ini kepada anda, anda perlu datang dengan kami ke pejabat SPRM,” kata pegawai itu yang meminta Voon memberikan kerjasama.
Dalam sidang media di luar pejabat SPRM, calon PBK untuk kerusi Batu Kawah, Chai Kueh Khun mendakwa Voon tiba-tiba disoal siasat adalah tindakan intimidasi untuk menghalang tugas parti itu.