
Presidennya Adnan Mat berkata, jumlah itu disifatkan sudah tidak setimpal dengan beban dan risiko anggota bomba dengan kenaikan kali terakhir dibuat 14 tahun lalu.
“Jumlah itu disifatkan sebagai tidak setimpal dengan bebanan dan risiko kerja anggota bomba yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan bagi tugasan lebih masa. Jumlah RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan hanya sekitar 80 sen setiap jam jika bertugas untuk syif 24 jam.
“…mengikut kronologi, elaun BIB yang diterima oleh anggota bomba adalah RM27.50 pada tahun 90-an sebelum dinaikkan kepada RM90 pada 2000 dan RM110 pada 2007. CUEPACS difahamkan sebelum ini JBPM sendiri telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka namun sehingga kini ia masih belum diputuskan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Adnan berkata, pekerjaan anggota bomba yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.
Katanya, meskipun ia tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, namun jumlah elaun diberikan perlu setimpal dengan khidmat diberikan terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat.
“Peningkatan elaun perkhidmatan merupakan salah satu inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota bomba selain memastikan segala peralatan yang diterima mematuhi piawaian keselamatan dan diselenggara dengan baik.
“Justeru, CUEPACS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan segera tanpa perlu melakukan kajian yang mungkin memakan masa lagi. Minta kerajaan luluskan segera kerana isu ni sudah berpanjangan sejak 2015 lagi dan sudah tentu lebih 12,000 anggota JBPM menunggu-nunggu bilakah nasib dan kebajikan mereka ini diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama Adnan berkata, CUEPACS turut menzahirkan dukacita dengan pemergian anggota bomba yang terlibat dalam letupan ketika memadam kebakaran sebuah kilang di Segamat, Johor, awal pagi tadi.
“Begitulah risiko yang dihadapi oleh wira negara kita dalam memastikan kelancaran operasi penyelamatan,” katanya.