
Peguamnya, Hariharan Singh, memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa status Najib dan rakan peguam Muhammad Shafee Abdullah di aplikasi itu adalah “kontak kasual” dan dimaklumkan untuk meninggalkan bangunan mahkamah.
“Awal pagi tadi, mereka dibenarkan masuk selepas mereka memuat semula status mereka.
“Bagaimanapun, selepas menjawab beberapa soalan di bawah fungsi ‘Covid-19 Status’ aplikasi itu, status mereka bertukar kembali kepada kuning,” katanya.
Hariharan berkata kedua-dua Najib dan Shafee sedang menunggu diluar perkarangan mahkamah.
Sequerah kemudian memberitahunya untuk memaklumkan kedua-duanya untuk menjalani ujian kendiri Covid-19.
“Apabila keputusan mereka keluar, maklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya status boleh dinilai semula,” tambahnya.
Pihak pendakwaan mahu perbicaraan diadakan dalam talian tetapi pihak pembelaan bantah
Pihak pendakwaan mencadangkan supaya Mahkamah Tinggi meneruskan kes itu melalui perbicaraan dalam talian.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Sequerah bahawa pindaan kepada Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan perbicaraan mahkamah dijalankan secara dalam talian.
“Saya telah menerima arahan daripada peguam utama (pendakwa raya ad hoc) Gopal Sri Ram untuk mengadakan perbicaraan dalam talian.
“Perbicaraan dalam talian dilakukan untuk permohonan Datuk Seri (Najib) minggu lepas serta rayuan SRC International,” katanya.
Semasa prosiding terakhir pada 18 Nov, bekas pengarah 1MDB Ismee Ismail dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir telah menamatkan pemeriksaan utama mereka tetapi masih belum disoal balas oleh peguam Najib.
Hariharan memberitahu mahkamah mereka membantah cadangan untuk perbicaraan dalam talian.
Beliau memetik arahan amalan Ketua Hakim Negara bahawa pendengaran dalam talian hanya terpakai untuk kes sivil.
Sequerah berkata beliau akan memutuskan permohonan itu esok.
“Mereka telah mengemas kini status MySejahtera tetapi status mereka masih ‘kontak kasual’,” kata Hariharan sambil menambah di bawah garis panduan KKM, kedua-duanya dijangka menjalani kuarantin sendiri selama 10 hari.
Pendengaran dijadual bersambung esok.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana disyaki milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Minggu lalu, Najib dan peguamnya terpaksa menghadiri keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan kes SRC International melalui prosiding dalam talian kerana mereka mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.
Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan mahkamah rendah yang mensabitkan beliau atas tujuh pertuduhan membabitkan RM42 juta dana SRC International yang memasuki akaunnya. Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Bagaimanapun, Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.