
Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sambil memaklumkan pelantikan Yadzil bagi menggantikan Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 26 Nov lalu.
“Yadzil memenangi kerusi DUN Bemban dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov lalu, adalah Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Melaka.
“Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Wanita Bersatu serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.
Katanya, pelantikan Dr Mohd Yadzil dan Mas Ermieyati bagi menerajui Badan Pimpinan Bersatu Melaka serta penyusunan semula kepimpinan di peringkat negeri diyakini dapat memperkuatkan struktur parti itu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan kepada rakyat Melaka khususnya.