

Zaini juga adalah hakim perbicaraan bagi kes rasuahnya yang masih berjalan berhubung projek sistem tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak berjumlah RM1.25 bilion.
Beliau berkata, seorang hakim dikehendaki mempertimbangkan keterangan terhadap tertuduh secara berasingan dan bebas.
“Sebarang dapatan yang saya buat dalam kes solar itu kekal,” katanya sambil menambah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini memutuskan bahawa seorang hakim, tidak seperti juri, dilatih dalam undang-undang untuk tidak bersikap berat sebelah walaupun membaca fakta berkaitan kes.
Kes rasuah itu akan bersambung pada 23 Dis manakala perbicaraan kes AMLA dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN akan bermula 12 Jan.
Rosmah yang memfailkan permohonan pada 2 Nov lalu turut memohon perintah supaya kes pengubahan wang haram didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi yang lain.
Pada 18 Feb, Zaini telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Rosmah dan memerintahkan beliau untuk membela diri atas tuduhan rasuah.
Rosmah mendakwa keterangan dan bahan bukti yang dikemukan di mahkamah dalam kes rasuah itu boleh mempengaruhi Zaini sama ada secara langsung atau tidak langsung sekiranya beliau turut mendengar kes pengubahan wang haram terbabit.
Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.
Zaini dalam penghakiman lisannya hari ini berkata, kebimbangan utama Rosmah adalah mengenai keterangan yang diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan.
Menurutnya, beliau berpandangan bahawa Rosmah bimbang beliau mungkin bersikap prejudis kerana “Saya mungkin membuat perbandingan antara keterangan dan pembelaannya (dalam kes rasuah)” adalah tidak berasas.
Ketika membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengakui keterangan bagi tujuan pendakwaan tertuduh dalam kes rasuah, katanya, beliau telah memutuskan tiada soalan yang perlu ditanya berhubung fakta kes pengubahan wang haram.
“Pokoknya ialah, saya sangat berhati-hati untuk memastikan tertuduh tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat terhadap keterangan dalam kes rasuah,” katanya.
Zaini berkata adalah menjadi kewajipan untuk mana-mana hakim memastikan seseorang tertuduh dibicarakan secara adil seperti yang termaktub di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
“Walau apa pun, ketika hujahan, peguam responden (Gopal Sri Ram) telah meyakinkan saya bahawa isu-isu yang ingin dikemukakan oleh pendakwaan berhubung kenyataan dalam kes rasuah tidak mempunyai kaitan dengan isu-isu dalam kes (pengubahan wang haram) ini,” katanya.
Peguam yang mewakili Rosmah, Geethan Ram Vincent, berkata beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya sama ada untuk memfailkan rayuan.