
Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 Hishammuddin Hussein berkata bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas.
Bagi perayaan Thaipusam pula, beliau berkata menerusi perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil.
Beliau berkata turut diberikan tumpuan adalah perjalanan dan pergerakan kereta ‘Chariot’, membawa kavadi, membawa Paal koodam atau belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan.
“Kementerian Kesihatan (KKM), polis, Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta Chariot,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan menurut laporan Bernama.
“Penting untuk difahami, dalam menentukan setiap SOP, keutamaan kerajaan ialah keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika ini.
“Saya juga faham, hujung tahun seperti sekarang, ramai akan pulang ke kampung dan bercuti bersama keluarga. Pastikan pakai pelitup muka, elakkan tempat sesak, dapatkan dos penggalak jika layak, lakukan ujian Covid-19 secara berkala dan paling penting amalkan TRIIS (Uji, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan rawatan),” katanya.
Hishammuddin berkata pada mesyuarat kuartet yang diadakan hari ini, Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dan Saravanan dijemput untuk duduk semeja dengan pihak KKM serta pihak berkepentingan bagi menyelaras SOP bagi Krismas yang akan disambut 25 Dis ini manakala Thaipusam pada 18 Jan 2022.
Sehubungan itu, beliau memohon jasa baik orang ramai supaya mematuhi setiap SOP yang bakal diumumkan Kementerian Perpaduan Negara kelak dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab selari dengan matlamat kerajaan menerusi usaha ‘Reopening Safely’ atau pembukaan semula dengan selamat.