
Ketua Polis Daerah Muar Zaharudin Rasip berkata kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu masing-masing ditahan di Kuala Sungai Baru, Melaka dan Johor Bahru, semalam.
“Penahanan susulan laporan berkaitan kejadian pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli oleh pelajar ‘senior’ pada 9 Dis lalu sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan petang semalam memaklumkan mangsa dibuli oleh pelajar-pelajar lebih senior sehingga mengalami bengkak di bahagian rusuk kiri badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaharudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada beberapa pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakannya menyebabkan mereka dibuli.
Katanya, selain dua pelajar yang ditahan itu polis sedang mengesan suspek lain yang disyaki terbabit dengan perbuatan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis memandang serius terhadap kes jenayah membabitkan pelajar, khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit,” katanya.