
Dick Lembang Dugun dari Universiti Malaysia Sarawak dan Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM) memberitahu FMT, mereka percaya kebanyakan rakyat Sarawak lebih berminat untuk melihat bagaimana kerajaan negeri selepas ini menangani isu asas seperti pemulihan ekonomi, pembangunan infrastruktur, liputan internet, penambahbaikan sistem pendidikan dan penyediaan pekerjaan.
Katanya, resolusi terhadap isu seperti ini lebih mendesak dalam kalangan pengundi.
Dugun berkata, GPS berperanan penting menyebabkan kekalahan dalam pembentangan rang undang-undang sama oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ia memegang kuasa.

Beliau memberi amaran bahawa gabungan itu akan berdepan tindak balas sekiranya ia gagal untuk memastikan pelaksanaan peruntukan dalam rang undang-undang yang baru saja diluluskan.
Baru-baru ini, Dugun meramalkan penyertaan baharu Parti Sarawak Bersatu dalam pilihan raya negeri akan memberi kejutan di beberapa kawasan di mana sebahagian besar pengundi terdiri daripada kaum Iban.
Awang Azman berkata, tidak ada banyak keperluan untuk GPS mendendangkan mengenai kelulusan rang undang-undang itu dalam kempennya kerana tidak dinafikan ia sebenarnya telah menunjukkan banyak kejayaan menerusi pentadbiran kerajaan negeri sejak berpisah dari Barisan Nasional pada 2018.
Katanya, GPS berjaya mendapatkan cukai jualan negeri (SST) sebanyak 5% produk petroleum negeri daripada Petronas. Sebagai perbandingan katanya, PH tidak memenuhi janjinya untuk mendapatkan royalti minyak sebanyak 20%.
“Perkara ini, bersama beberapa pembatalan pembinaan jambatan asas di Sarawak ketika era PH telah memberi imej buruk kepada pembangkang di negeri itu,” katanya.

“Ini sudah cukup untuk menjadikan GPS kalis daripada mesej pembangkang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.”
Katanya, rang undang-undang yang diluluskan semalam adalah “lebih baik dan holistik” berbanding yang dibentangkan PH pada 2019.
Semalam, pindaan itu diluluskan melalui undian belah bahagi di Dewan Rakyat.
Pada 2019, kerajaan PH mengecam Ahli Parlimen daripada GPS kerana tidak mengundi pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, mengakibatkan kegagalan kerajaan memperoleh majoriti dua pertiga.