
Bagaimanapun, PAC dalam laporannya mendapati tidak banyak sesi libat urus yang dilaksanakan bersama pemegang taruh bagi penetapan syarat baharu program MM2H.
PAC berkata, program MM2H dilihat mampu menyumbang kepada hasil negara dan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara dalam pelbagai sektor pelancongan, pendidikan dan perhotelan.
Namun, PAC merumuskan pengurusan program MM2H tidak begitu memuaskan kerana data dan dokumen peserta tidak diselenggara secara sistematik, menyebabkan pemantauan terhadap aktiviti serta perbelanjaan peserta dan pemilikan aset tidak dapat disahkan.
“Tiada rekod lengkap bagi mengenal pasti keseluruhan nilai hartanah yang dimiliki semua peserta MM2H. Data pemilikan hartanah hanya direkodkan sekiranya pembelian melibatkan penggunaan wang simpanan tetap (FD) yang terikat dengan pensyaratan program MM2H,” menurut PAC.
PAC turut merumuskan bilangan peserta MM2H yang membuat permohonan lanjutan selepas tamat tempoh 10 tahun pertama tidak dapat disahkan kerana Jabatan Imigresen (JIM) tidak dapat menjana laporan yang membezakan permohonan baharu dan lanjutan selain langkah pembaikan yang belum diambil.
“Terdapat tafsiran yang berbeza antara Jabatan Audit Negara (JAN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)/JIM dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bilangan 6 Tahun 2009 mengenai had umur anak yang dibenarkan sebagai tanggungan bagi peserta program MM2H,” menurut PAC.