Cadangan Idris Haron bentuk kerjasama PH-PN ‘tidak bijak’, kata Faizal Azumu

Cadangan Idris Haron bentuk kerjasama PH-PN ‘tidak bijak’, kata Faizal Azumu

Timbalan Presiden Bersatu itu menyarankan Idris Haron supaya bercuti dan mendekati agama.

Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Idris agar bercuti dan mendekati agama seperti yang beliau lakukan selepas kerajaan Perak pimpinannya tumbang.
PETALING JAYA:
Cadangan bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron, agar Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berganding pada PRU15 untuk bersaing dengan Barisan Nasional dibidas Bersatu.

Malah Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu menyifatkan cadangan bekas calon PH pada PRN Melaka lepas itu “bukan satu tindakan bijak”.

“Cadangan untuk menyatupadukan sesiapa juga adalah cadangan yang baik tetapi kalau nak campur antara air laut dengan air tawar, kemudian nak bela ikan ia bukan satu tindakan bijak,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.

Faizal kemudian menasihatkan Idris agar bercuti dan mendekati agama seperti yang beliau lakukan selepas kerajaan Perak pimpinannya tumbang.

“Sebagai kawan lama, selepas saya jadi Menteri Besar Perak, saya cuti selama lapan bulan…ketika itu saya belajar mengaji, saya belajar betulkan bacaan dalam bacaan sembahyang. Sudah tentu Datuk Seri banyak masa sekarang ni, elok buat benda tu,” katanya.

Terdahulu, Idris yang juga bekas pemimpin Umno berkata, PH memerlukan “wow factor” untuk menang PRU15, yang antaranya menerusi kerjasama dengan PN.

Idris menyertai PKR dan bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka November lepas, yang tercetus apabila beliau dan tiga ADUN lain mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan menarik sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Umno itu.

Mengenai khabar angin bahawa Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin akan meninggalkan parti itu bagi mengetuai sebuah parti berbilang kaum, Faizal menegaskan sesuatu khabar angin tidak bermakna perkara itu adalah betul.

“Khabar angin tak semestinya betul, sebagai sebuah parti besar tentunya ada antara ahli kami yang rasa tidak puas hati akibat pemilihan parti… kerana tidak terpilih dan sebagainya. Tentu ada.

“Tetapi bukan sampai tahap untuk memecahkan-belahkan parti,” katanya.

Awal bulan lalu, memetik MalaysiaGazette, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dikatakan bakal mengetuai Parti Bangsa Malaysia.

Dilaporkan, parti itu telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 29 Okt lalu.

Selain Zuraida antara individu lain yang bakal menjadi pimpinan Parti Bangsa Malaysia ialah Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Steven Choong (Tebrau) dengan kedua-duanya adalah bekas pemimpin PKR.

Sementara itu, mengulas mengenai perhimpunan Bersatu itu, Faizal berkata, seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari 197 Bahagian di seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama dua hari bermula esok.

“Sayap Srikandi dan Armada akan bersidang pada Sabtu manakala perasmian dan persidangan agung bersatu akan diadakan pada Ahad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.