
Tumiran berkata, keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan sikap segelintir ahli yang melemparkan fitnah dan tohmahan dengan sesuka hati terhadap dirinya.
“Saya mula dengar suara sumbang mempersoalkan kredibiliti saya dalam menerajui PKAVM selepas beberapa bulan dilantik sebagai Presiden kononnya saya tidak pandai buat kerja dan lebih mengecewakan ada pula segelintir ahli PKAVM menuduh saya pilih kasih dari segi mengagihkan bantuan sepanjang era pandemik.
“Saya bukan pilih kasih, tetapi pengagihan bantuan diberi mengikut keutamaan ahli PKAVM yang lebih memerlukan. Sebelum ini, saya cuba memekakkan telinga dan buat kerja sahaja.
“Namun fitnah nampaknya berterusan. Jujurnya, saya tidak mampu bersabar lagi, apatah lagi penat jerih dan usaha membantu ahli PKAVM yang berdepan kegetiran hidup ketika pandemik langsung tidak dihargai,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Menurut Tumiran, dia nekad dengan keputusan itu yang turut diambil oleh beberapa ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.
Katanya, dia kesal dan tidak menyangka segala usaha selama ini mendapat pembalasan buruk.
“Sepanjang menerajui PKAVM, saya cuba memberikan yang terbaik kepada ahli. Saya bantu sekadar mampu dengan mencari penaja dan ada masa menebalkan muka meminta pertolongan rakan bagi membantu ahli PKAVM yang terkesan akibat Covid-19.
“Ada juga ahli PKAVM meminta bantuan secara peribadi, namun saya tetap melayan permintaan mereka. Saya seronok melakukan kerja amal kebajikan seperti ini.
“Tetapi, apabila ada pihak yang masih tidak berpuas hati, terus memfitnah dan mengecam saya, situasi inilah yang menyebabkan saya tawar hati menerajui PKAVM.
“Pada usia sekarang, saya memerlukan ketenangan dan tidak mahu terbabit dengan situasi memeningkan kepala. Jadi, saya percaya melepaskan jawatan ini adalah langkah terbaik,” katanya.
Tumiran dipilih sebagai Presiden pada mesyuarat agung PKAVM Ke-11 pada September 2020 menewaskan penyandang, Rahim Jailani.