
Apa yang jelas, golongan itu lebih bimbang mengenai mata pencarian masing-masing dan orang di sekeliling mereka.
Isu-isu seperti kurangnya peluang pekerjaan, gaji yang rendah, pendidikan dan hubungan pengangkutan adalah antara perkara yang merisaukan mereka.
Aaron Libau, 27, berkata, terdapat keperluan untuk menyediakan kualiti dan akses pendidikan yang lebih baik dan imbuhan juga harus diberikan sebagai usaha menarik guru-guru berkualiti.
Katanya, penekanan juga harus diberikan kepada bidang pertanian serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana Sarawak mempunyai banyak peluang dan prospek dalam bidang terbabit.
Aaron juga menggesa supaya tahap ketelusan dapat dipertingkatkan dalam pemberian projek kerajaan.
“Sebagai orang muda, saya tidak akan mendapat projek melainkan saya mempunyai ‘hubungan baik’,” katanya.
“Proses tender pemberian projek kerajaan perlu dilakukan secara telus supaya golongan belia juga mendapat peluang.”
Aliff Irfan, 20, berkata, Sarawak memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik khususnya di kawasan luar bandar.
Menurutnya, Kuching “amat ketinggalan” berbanding bandar seperti Kuala Lumpur.
Aliff berkata, penduduk luar bandar sering berasa kecewa dengan kekurangan sistem pengangkutan awam yang menyebabkan jurang besar antara penduduk bandar dan luar bandar.
Manakala Brandon Lim pula berkata, pihak berkuasa perlu memberi tumpuan terhadap kenaikan harga rumah dan makanan selain menggesa kenaikan gaji lebih tinggi seiring dengan kenaikan kos sara hidup.
“Kita perlu kuasa membeli lebih besar. Semuanya naik harga. Jika kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan, rakyat akan sengsara.”