Abang Jo selamat mendarat ‘helikopter’ GPS, dengan mesej tajam untuk parti Semenanjung

Abang Jo selamat mendarat ‘helikopter’ GPS, dengan mesej tajam untuk parti Semenanjung

Perkataan pertama diluahkan beliau, selepas gabungan itu dilaporkan menang 76 daripada 82 DUN adalah "Kami tak suka 'katak' dan tak mahu 'katak'."

Abang Johari Openg tidak memerlukan ahli politik berpaling tadah untuk membentuk atau memperkukuhkan kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan dengan beliau terus menyandang jawatan Ketua Menteri.
KUCHING:
Walaupun helikopter yang membawanya terpaksa membuat pendaratan cemas petang tadi, Abang Johari Openg selamat membawa Gabungan Parti Sarawak mencatat kemenangan besar pada pilihan raya negeri malam ini.

Dan perkataan pertama yang diluahkan beliau, selepas gabungan itu dilaporkan menang 76 daripada 82 DUN adalah “Kami tak suka ‘katak’ dan tak mahu ‘katak’.”

Sememangnya, dengan kemenangan amat selesa itu, Abang Johari tidak memerlukan ahli politik berpaling tadah untuk membentuk atau memperkukuhkan kerajaan negeri yang bakal ditubuhkan dengan beliau terus menyandang jawatan Ketua Menteri.

Apakah mungkin, luahan itu mencerminkan rasa tidak senangnya dengan parti daripada Semenanjung yang mencorakkan politik nasional, khususnya dalam keghairahan menawan Putrajaya.

PRN Sarawak hari ini diadakan hampir sebulan selepas PRN Melaka yang dicetuskan oleh ahli politik katak yang bertukar parti dan haluan untuk menjatuhkan kepimpinan negeri itu. Lebih memburukkan ialah ahli kalangan ahli politik katak terbabit diberikan tempat dalam Pakatan Harapan.

Pada PRN Sarawak, ketiga-tiga parti PH itu – PKR, DAP dan Amanah – menerima kekalahan teruk yang dilihat sebagai mesej jelas warga Sarawak sebagai menolak politik katak yang direstui mereka di Semenanjung.

PKR dan Amanah tewas di semua kerusi yang ditandingi mereka. DAP hanya menang di dua daripada 28 kerusi.

Sebuah lagi parti dari Semenanjung, PAS juga tewas di satu-satunya kerusi ditandingi – Beting Maro kepada GPS. Walaupun berulang kali cuba bertapak di Sarawak, PAS terus dilihat parti yang menganjurkan dasar tidak sesuai untuk masyarakat majmuk di Sarawak.

“Nah, rakyat kata Sarawak lebih elok dijaga oleh orang Sarawak,” kata Abang Johari dalam mesej jelas kepada parti-parti Semenanjung yang dilihat mengamalkan politik keterlaluan sehingga menyumbang kepada ketidakstabilan di peringkat Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.