
Walaupun dengan kehadiran kumpulan parti yang besar dan 349 pesaing hebat, aktiviti kempen untuk merebut 82 kerusi nampak begitu senyap, sebaliknya hanya bendera dan sepanduk sahaja yang menunjukkan tanda pilihan raya sedang berlangsung di negeri terbesar itu.
Sebilangan kecil pemimpin parti politik negara telah membuat lawatan ke Sarawak dan secara jelas, suasana tidak begitu meriah. Malah pilihan raya di negeri lebih kecil seperti Melaka bulan lalu lebih meriah.
Perkara yang paling menimbulkan ‘keterujaan’ ialah penyebaran video oleh Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan yang mana beliau mendakwa telah ditahan dan nyawanya dalam bahaya selepas ditahan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, pihak berkuasa menafikan bahawa Voon telah ditahan dan menjelaskan mereka hanya mahu merakam kenyataannya berhubung satu kes yang disiasat.
Isu yang dimainkan ketika kempen tidak ada bezanya dengan isu yang menjadi tajuk akhbar sebelum ini. Hampir tiada perang mulut antara parti dan calon kecuali antara Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan menteri paling kanan kerajaan persekutuan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Fadillah Yusof.
Beberapa pemerhati dan kebanyakan penduduk tempatan berkata suasana senyap itu menggambarkan keputusan bahawa – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menang sekali lagi – adalah perkara yang telah pasti.
Tanggapan ini didorong oleh pemerhatian bahawa GPS akan berdepan dengan pembangkang yang berpecah-belah. Terdapat sembilan parti pembangkang dan hanya DAP, PKR dan Amanah berada dalam kumpulan sama.
Di samping itu, kebimbangan mengenai Covid-19, kelesuan politik dan tiket penerbangan yang mahal untuk pengundi di luar negeri hanya menjadi isu tempatan. Pilihan raya juga diadakan sebelum pelaksanaan Undi18, menyebabkan pengundi muda tidak dapat menyertainya.
Pemerhati politik dilihat lebih berminat mengenai soal margin kemenangan GPS.
Pilihan raya ini menjadi medan ujian buat sokongan terhadap Ketua Menteri Abang Johari Openg selepas mengambil alih pentadbiran daripada Adenan Satem yang popular di mana beliau mengetuai Barisan Nasional (BN) Sarawak meraih kemenangan besar dengan memperolehi 72 daripada 82 kerusi pada 2016.
Kejayaan pada 2016 itu tidak mungkin berulang, namun pemerhati dan sumber rapat memberitahu Parti Sarawak Bersatu (PSB) mungkin menembusi beberapa kawasan khususnya di kawasan Dayak. Populariti PSB yang semakin berkembang dilihat berjaya menarik masyarakat di penempatan Iban.
Terdapat juga spekulasi bahawa GPS akan berdepan kesukaran di kerusi Bidayuh kerana komuniti itu beralih kepada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.
Iban juga dikenali sebagai Dayak Laut manakala Bidayuh dikenali sebagai Dayak Darat.
“Tidak menjadi masalah untuk GPS memenangi majoriti dua pertiga,” kata seorang pemerhati yang enggan dinamakan.
“Tetapi ia boleh kehilangan lima ke tujuh lagi kerusi berbanding 2016. Walaupun jika ia memenangi 65 kerusi, ia lebih 10 kerusi daripada bilangan yang diperlukan untuk memenangi majoriti dua pertiga.”
Tambahnya, bagaimanapun, keputusan itu mungkin tidak mencerminkan sokongan sebenar yang akan diperolehi GPS dalam PRU15.
“Ia mungkin berbeza pada PRU15 apabila pengundi muda mula mengundi. Segelintirnya mungkin tidak begitu gembira apabila tidak dapat mengundi kali ini.”