Nahas 10 maut: Bapa terima khabar duka bila telefon dijawab bomba

Nahas 10 maut: Bapa terima khabar duka bila telefon dijawab bomba

Rolex Shapiai menerima panggilan daripada bomba 12.30 malam tadi dan tergamam mendengar khabar duka itu kerana sempat bertemu mangsa sebelum anak sulungnya keluar rumah.

Selain Rahimi Rolex, seorang ibu serta lapan anaknya yang menaiki Proton Wira turut maut dalam insiden itu dipercayai selepas terperosok bawah treler.
SHAH ALAM:
Bapa kepada Muhamad Rahimi Rolex, 27, seorang daripada mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) tengah malam tadi, menyifatkan pemergian anaknya kehilangan besar buat keluarga.

Rolex Shapiai, 53, berkata anaknya itu banyak membantu keluarga dan tidak pernah berkira soal wang.

Selain, Rahimi, seorang ibu serta lapan anaknya yang menaiki Proton Wira turut maut dalam insiden itu dipercayai selepas terperosok bawah sebuah treler.

Manakala, empat mangsa cedera dan tiga lagi tidak mengalami kecederaan.

Rolex yang menetap di Sungai Rasau, Seksyen 16, Shah Alam, berkata dia menerima khabar duka itu daripada bomba kira-kira 12.30 malam tadi dan tergamam mendengarnya kerana sempat bertemu Rahimi sebelum anak sulungnya keluar rumah.

“Kali terakhir saya bertemu arwah adalah kira-kira 9.30 malam sewaktu dia di rumah. Arwah baru pulang dari tempat kerja ketika itu dan kami sempat borak seketika sebelum dia keluar, katanya mahu berjumpa kawan.

“Kebiasaannya, dia pulang jam 12 malam tetapi tidak pada malam tadi. Jadi, saya cuba menghubunginya namun tidak sedap hati apabila anggota bomba yang mengangkat panggilan sebelum beritahu anak saya kemungkinan sudah meninggal dunia,” kata Rolex menurut laporan Berita Harian.

Rolex berkata, lebih menyedihkan apabila Rahimi meninggal dunia menjelang sambutan ulang tahun kelahirannya, Rabu depan.

Sementara itu, adik mangsa, Nur Faqihah Umirah, 16, turut sedih dengan pemergian Rahimi kerana rapat dengan abang sulungnya.

“Kami semua sudah tidur tetapi tersentak selepas ayah kejut dan beritahu abang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

“Emak mahu ke lokasi kejadian namun jalan sesak jadi kami terus ke sini (Unit Forensik Hospital Shah Alam).

“Saya sempat jumpa abang buat kali terakhir ketika di rumah dan malam tadi dia tidak sihat. Emak minta abang makan ubat dan katanya mahu makan apabila pulang ke rumah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.