Ketua Bahagian Umno didesak nyata pendirian berhubung kedudukan Bersatu

Ketua Bahagian Umno didesak nyata pendirian berhubung kedudukan Bersatu

Ketua Pemuda Umno Bahagian Jempol Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata masih ada ketua bahagian pro kepada Bersatu.

Pemuda Umno Jempol senada dengan 176 pemuda Umno bahagian seluruh negara, yang mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemilihan Umno.
PETALING JAYA:
Semua ketua bahagian Umno didesak menyatakan pendirian masing-masing, susulan dakwaan terdapat dalam kalangan mereka pro kepada Bersatu, kata Ketua Pemuda Umno Jempol, Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Katanya, Pemuda bahagian diketuainya kekal berpendirian dengan meneruskan keputusan usul Perhimpunan Agung Umno lalu, di mana parti itu perlu menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu.

“Kita tidak mahu lihat ada pemimpin yang masih mahu bersama dengan Umno, namun dalam masa sama berpendirian menyokong Bersatu.

“Teruskanlah berjuang bersama Umno, dan jika mahu ke sebelah sana, kami pun tiada masalah kerana Umno masih mempunyai ramai calon pemimpin terutama daripada orang muda,” katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Jempol di sebuah hotel di Bahau, semalam.

Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Zaidy berkata, berikutan itu, Pemuda Umno Jempol senada dengan 176 Pemuda Umno bahagian seluruh negara, yang mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pemilihan Umno.

Katanya, pemilihan parti sebelum pilihan raya bakal mengundang masalah kepada parti, selain mengelak perpecahan dan kekuatan jentera Umno terhakis akibat perebutan kuasa dari peringkat cawangan hingga pusat.

Sementara itu, Ketua Umno Jempol, Mohd Salim Mohd Sharif, berkata Umno bahagian turut menyokong Ismail Sabri Yaakob, terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga 2023.

Katanya, jika terdapat isu berkaitan perjanjian yang ditandatangani dengan pembangkang sebelum ini, ia dipercayai boleh dirunding semula.

“Bagi peluang kepada beliau untuk teruskan agenda membantu rakyat dan menaikkan semula ekonomi yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.