
Antara kawasan yang teruk terjejas seperti yang tular di media sosial adalah Kampung Sungai Serai, Taman Sri Nanding dan kawasan sekitarnya.
Menurut laporan Astro Awani, penduduk tempatan mula memenuhi kawasan terbabit berikutan ramai ahli keluarga, saudara dan rakan yang masih terperangkap.
Sejak pagi tadi, terdapat empat atau lima bot telah digerakkan untuk menyelamatkan mangsa selain empat ambulans disediakan untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan.
Beberapa mangsa dilihat berjaya diselamatkan yang terdiri daripada warga emas, orang dewasa, remaja serta kanak-kanak yang terperangkap.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Saripah berkata, dia bimbang dengan keadaan bapa saudaranya yang masih terperangkap.
“Pakcik saya terperangkap sejak semalam lagi. Saya begitu risau ketika menghubunginya tadi. Dia memberitahu mengenai keadaannya yang sangat sejuk dan lapar kerana makanan sudah tiada.
“Air pun naik sampai ke paras bumbung. Jadi memang dia terperangkap. Hanya tunggu anggota bertugas selamatkan mereka,” katanya.