2 warga Myanmar ditemui lemas di Pantai Teluk Kemang

2 warga Myanmar ditemui lemas di Pantai Teluk Kemang

Kedua-dua mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja di Seremban.

Mayat pertama dijumpai nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Tanjung Tuan pada 8.20 pagi. (Gambar Bomba)
SEREMBAN:
Mayat dua lelaki warga Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson dua hari lepas ditemui di perairan berkenaan, pagi tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Haris Fadzillah Abdullah berkata, mayat pertama dijumpai nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Tanjung Tuan pada 8.20 pagi.

“Sementara itu, sejam lebih kemudian, mayat kedua ditemui anggota (operasi pencarian) tidak jauh dari lokasi mayat pertama, kedua-dua mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, kedua-dua mangsa disyaki lemas ketika mandi di laut kira-kira 20 meter dari Pantai Telok Kemang. (Gambar Bomba)

Dua hari lepas, kedua-dua mangsa yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan bekerja di daerah ini disyaki lemas ketika mandi di laut kira-kira 20 meter dari pantai Telok Kemang sekitar 1.30 tengah hari.

Haris Fadzillah berkata, operasi pencarian sejak Sabtu lepas itu melibatkan hampir 50 anggota APMM, polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia merangkumi kawasan seluas lebih 20 batu nautika dari pantai.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya menangguhkan aktiviti di pantai ketika cuaca buruk bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.