Air banjir surut, tapi ‘bengkak’ mangsa dibawa ke PRU15?

Air banjir surut, tapi ‘bengkak’ mangsa dibawa ke PRU15?

Sejak Sabtu lalu ribuan orang terperangkap dalam rumah. Ada pula kediaman dihanyutkan air. Ratusan ribu penduduk terpaksa bermalam tanpa bekalan elektrik dan air.

Penduduk meredah air banjir untuk menyelamatkan diri.
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu, Tengku Zafrul Abdul Aziz, malah Perdana Menteri antara menjadi sasaran orang ramai yang terkesan akibat banjir paling buruk melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain.

Banjir hujung minggu lalu memusnahkan rumah, kenderaan dan harta awam bernilai ratusan juta ringgit manakala mayat mangsa sudah mulai ditemui di celah runtuhan kediaman.

Jumlah angka kematian semakin meningkat dengan air banjir surut.

Mulai Sabtu lalu, ribuan mangsa terperangkap dalam rumah mereka. Ada pula kediaman dihanyutkan air. Ratusan ribu penduduk terpaksa bermalam tanpa bekalan elektrik dan air.

Kenderaan terperangkap di beberapa lebuh raya akibat banjir kilat di Lembah Klang.

Ketika bencana ini berlaku, ada pemimpin kerajaan “melancarkan” skuad penyelamat sukarelawan kementeriannya di majlis parti politik yang dianggotainya.

Faizal “ditibai” oleh warganet yang menuduh beliau lebih mengutamakan majlis pelancaran dan bukannya terus menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Tahap kemarahan rakyat amat tinggi sehingga pemimpin yang turun padang tidak terlepas daripada kecaman, kerana dilihat tidak peka, malah angkuh oleh mangsa marhaen.

Klip video menunjukkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul di atas pacuan empat roda melalui kawasan banjir, diiringi komen warganet “duduk atas Hilux je ke?”.

Begitu juga Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ditegur, juga oleh warganet kerana dilihat berbual dengan orang ramai tanpa keluar dari kereta.

Mungkin komen dan klip video di media sosial tidak memaparkan keadaan sebenar. Faizal, Tengku Zafrul, mahupun Perdana Menteri bersama jemaah menteri lain, sedang dan telah mengambil tindakan sedaya mungkin untuk membantu mangsa banjir.

Mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air. (Gambar Bernama)

Namun, dengan PRU15 berkemungkinan besar diadakan tahun depan, pemimpin politik, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang, tentunya akur bahawa persepsi rakyat khususnya dalam isu banjir kali ini amat penting.

Pemimpin politik berhak merasakan asakan dan teguran warganet tersasar dan tidak adil, namun tidak boleh dinafikan, kritikan itu bakal mempengaruhi keputusan pengundi apabila PRU diadakan.

“Ibu saya terperangkap di rumahnya dua hari, tanpa ubat, makanan pun tinggal sikit. Bila saya telefon minta bantuan, satu pun tak sampai,” kata seorang penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam.

“Bila sampai hari undi nanti, saya tidak akan lupa pengalaman ini.” katanya.

Anggota pasukan keselamatan memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.

Sudah tentu banjir hujung minggu lalu akan mengundang pelbagai persoalan dengan kesiapsiagaan pemimpin kerajaan dan agensi awam. Niat dan iltizam pemimpin politik juga akan dipersoalkan oleh orang awam, khususnya mangsa banjir.

Persoalan juga akan ditanya mengenai pengumuman pemimpin terdahulu mengenai sistem amaran awal banjir dan apa jadi kepadanya.

Pada 2013, Muhyiddin Yassin, semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, berkata sistem amaran awal banjir perlu diwujudkan.

“Saya percaya teknologi moden dapat dimanfaatkan dan perkara ini boleh MKN teliti dan orang ramai akan turut menerima amaran awal,” kata Muhyiddin pada 6 Dis 2013.

Tujuh tahun kemudian Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, selepas menukar parti. Beliau bertahan selama 17 bulan sebelum kerusi itu kembali kepada Umno.

Rakyat masih menunggu sistem amaran awal yang boleh menyelamatkan nyawa dan harta-benda. Penantian menyeksakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.