Usaha menyelamat mangsa banjir Taman Sri Muda dilipatganda, kata PM

Usaha menyelamat mangsa banjir Taman Sri Muda dilipatganda, kata PM

Pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu melibatkan anggota pasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

Anggota pasukan keselamatan menghulurkan roti kepada mangsa banjir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lebih 41 bot dan 16 lori serta aset lain digunakan untuk memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa dan pusat pemindahan sementara (PPS), manakala kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti.

Beliau berkata, pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lalu melibatkan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

“Saya memahami kebimbangan rakyat yang masih terkandas dan seperti saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilipatgandakan.

“Terima kasih kepada anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih bekerja keras tanpa henti. Saya juga berterima kasih kepada sukarelawan, badan bukan kerajaan dan ahli Keluarga Malaysia yang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat,” katanya di Facebook.

Ismail menambah, beliau akan terus memantau perkembangan itu dan berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sediakala.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.