Amirudin yang tak faham pentadbiran, saya pula yang ‘lumat’, jawab Noh

Amirudin yang tak faham pentadbiran, saya pula yang ‘lumat’, jawab Noh

Noh Omar mendedahkan bidang kuasa pengurusan bencana adalah bidang kuasa Amirudin, kerana beliau hanya menguruskan keselamatan dan ketenteraman awam.

PUTRAJAYA:
Selepas semalaman dilanyak di media sosial kerana dikatakan gagal menguruskan bencana banjir di Selangor, Noh Omar tampil menjelaskan bahawa pengurusan bencana negeri bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Amirudin Shari selaku Menteri Besar.

Malah, bidang kuasa Noh selaku pengerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor adalah menyelaras arahan gerakan keselamatan dan ketenteraman awam, dan bukan pengurusan bencana.

“Saya nak sekolahkan MB Selangor supaya memahami pentadbiran dan arahan kerajaan negeri. Jawatankuasa pengurusan bencana negeri bawah kuasa setiausaha kerajaan negeri yang dipengerusikan oleh MB,” katanya pada sidang media petang tadi.

“Bidang kuasa saya adalah bawah arahan MKN No 1 iaitu bahagian pengurusan keselamatan. Manakala bidang kuasa pengurusan bencana bawah arahan MKN No 20 adalah kuasa Amirudin.”

Semalam, pengguna Twitter berkata pengerusi MKN negeri sejak November adalah Noh, selepas Amirudin mengumumkan pada sidang media bahawa beliau akan mempengerusikan MKN Selangor mulai hari ini. Amirudin dikatakan menghadapi kekangan kerana tidak dapat memanggil mesyuarat MKN Negeri sebelum ini.

“Saya lihat tular sebab pengerusi MKN Selangor Noh Omar. Padahal bukan dalam bidang kuasa saya,” kata Noh.

Beliau turut mengingatkan bahawa Umno tiada dalam jawatankuasa pengurusan bencana negeri yang dipengerusikan Amirudin itu.

“Walaupun Umno tak ada masuk dalam jawatankuasa ini, boleh lihat ramai pemimpin Umno turun bantu (mangsa banjir),” katanya.

Noh turut menyanggah anggapan bahawa Amirudin selaku Menteri Besar tiada kuasa untuk memanggil polis dan tentera sekiranya bencana berlaku.

“Tak betullah sebab jawatankuasa pengurusan bencana negeri ahlinya Ketua Polis Negeri, Panglima Briged Tentera, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Bomba, Pengarah Kesihatan Negeri, Pengarah Penerangan, dan Pengarah Penyiaran.

“Dia boleh panggil (polis dan tentera),” katanya.

Beliau mengingatkan Amirudin jangan bermain politik dan menuding jari dalam keadaan suasana banjir ini.

“Dia cuba nak main politik. Sebab pengerusi MKN Noh Omar – Umno,” katanya.

“Saya terpaksa untuk membuat sidang media ini kerana saya lihat di mana-mana media sosial saya sudah ‘lumat’. Ini hasil daripada kenyataan MB Selangor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.