
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata mereka merupakan dua kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan dua pengawal keselamatan berumur 28 hingga 53 tahun.
Beliau berkata helikopter yang membawa lelaki terbabit mendarat di Sekolah Kebangsaan Pantai pada pukul 3.15 petang tadi.
“Mereka mendaki gunung tersebut pada Sabtu lepas atas urusan kerja. Bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk mangsa terputus hubungan dan tidak dapat turun dari gunung tersebut akibat laluan (trek) yang mengalami runtuhan dan dipenuhi dengan pokok tumbang.
“Laluan trek sepanjang 12km itu mempunyai banyak runtuhan. Justeru, usaha menyelamatkan mangsa menggunakan helikopter Unit Udara jenis Agusta AW189 dijalankan pada pukul 3 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Jelasnya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 8.15 pagi dan usaha menyelamatkan mangsa di jalan darat bermula sejurus tiba di lokasi berkenaan.
Beliau berkata seorang daripada mangsa terseliuh di bahagian kaki manakala selebihnya ditemukan tanpa sebarang kecederaan pada ketinggian 1,193m.