PM umum inisiatif, bantuan ringankan beban mangsa banjir

PM umum inisiatif, bantuan ringankan beban mangsa banjir

Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk bantuan bayaran balik pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa inisiatif termasuk bantuan bayaran balik pinjaman bagi meringankan beban mangsa banjir.

Menyuarakan rasa simpati terhadap kesengsaraan yang terpaksa ditanggung mangsa banjir baru-baru ini, beliau berkata ini termasuk bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

“Antara kemudahan termasuklah penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

“Pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana,” katanya di Facebook.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan moratorium enam bulan pertama ke atas pembayaran ansurans bulan dan ini terbuka kepada mangsa banjir di seluruh negara.

“TEKUN Nasional pula menyediakan dana RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan. Bagi pinjaman sehingga RM10,000, tiada kadar faedah dikenakan dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana) yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility, DRF 2022),” katanya.

Selain itu, beliau berkata BNM sedang berusaha menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

Menurutnya, semua inisiatif itu adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah diumumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.