
Beliau berkata, Ahli Parlimen sepatutnya memahami keadaan itu memandangkan sebahagian besar daripada mereka ialah wakil rakyat berpengalaman.
“Perbahasan hanya boleh dijalankan sekiranya ada usul, sama ada usul mencadangkan sesuatu perkara ataupun usul membentangkan rang undang-undang. Notis usul itu perlu diberikan kepada saya secara bertulis.
“Bagi hal tergempar dan diperlukan untuk dirundingkan secara tergempar, satu usul di bawah Aturan 18(1) perlu dibuat kepada saya sehari lebih awal. Untuk hal banjir, Ahli Parlimen boleh memberikan notis kepada saya melalui WhatsApp atau sebagainya sebelum hari perbahasan (20 Dis),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, usul bertulis juga boleh dibuat pada pagi Isnin lalu, namun tiada seorang pun Ahli Parlimen yang berbuat demikian.
“Saya bukan hendak mengekang Ahli Parlimen daripada berbahas isu semasa yang penting dan perlu disegerakan. Namun, Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijatuhkan martabat seperti kedai kopi dengan membangkitkan (isu) sewenang-wenangnya tanpa mematuhi peraturan mesyuarat.
“Tiada Ahli Parlimen negara Komanwel membahaskan isu dengan memetik isu daripada udara sesuka hati dan bila-bila masa tanpa mengikut peraturan dan aturan mesyuarat.”
Justeru, beliau menafikan menolak usul untuk membahaskan isu banjir pada Isnin lalu.
Isnin lalu, katanya, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sepatutnya membentangkan Rang Undang-undang Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat.
“Namun, proses itu tidak dapat dijalankan kerana proses libat urus antara menteri dan pembangkang belum tamat dan terdapat juga RUU tersebut yang perlu diselesaikan.”