
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor Amran Md Jusin, berkata mangsa berusia berusia 62 tahun menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan dirinya sebagai pegawai TH, kira-kira pukul 11.23 pagi, 10 Nov.
Beliau berkata, wanita berkenaan memaklumkan bahawa mangsa memiliki pinjaman dengan TH bernilai RM12,900 yang belum diselesaikan.
Menurutnya, mangsa menafikan perkara berkenaan, namun talian disambungkan kepada beberapa individu lain termasuk seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Cif Inspektor Yong’.
Katanya, mangsa diarahkan untuk membuka akaun di sebuah bank tempatan dan mendaftarkan kemudahan perbankan internet.
“Mangsa diarahkan untuk mengeluarkan semua wang simpanan miliknya serta suami dan memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun bank dibuka itu bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan kemudian.
“Mangsa yang mengikut arahan bertindak memasukkan wang sejumlah RM298,500 dalam akaun berkenaan antara tempoh 15 Nov hingga 14 Dis 2021.
“Mangsa juga berkongsi maklumat bagi akses kemudahan perbankan internet bagi akaun berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi individu terbabit dan semakan dilakukannya pada 18 Disember lalu, mendapati tiada baki wang dalam akaun bank berkenaan, selain berlakunya pengeluaran wang tanpa pengetahuan mangsa.
Beliau berkata, susulan laporan dibuat mangsa, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali.
“Mereka seharusnya bertenang dan menyemak maklumat disampaikan tanpa terburu-buru,” tambahnya.