
Mayat Musa Ahmad, 53, ditemui 10 pagi tadi dan anaknya Mohd Airall Zikree, 10, pada 11.50 pagi.
“Mayat kedua-dua mangsa ditemui kira-kira 100m dari lokasi akhir mereka dilihat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Dua beranak itu sebelum ini dilaporkan hilang semasa meredah banjir di padang bola berhampiran bangunan Umno di Mentakab, dipercayai dihanyutkan arus deras.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang, dipercayai akibat dihanyutkan arus semasa meredah air melimpah di kawasan berhampiran parit di Felda Chini 2, Pekan pada 11.05 pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa berusia 34 tahun, Rostam Che Su dipercayai hendak ke sebuah ladang bersama bapanya dengan menunggang motosikal secara berasingan.
“Bapa mangsa mendakwa cuba mencari anaknya, namun hanya menemui motosikal menyebabkan dia menghubungi talian kecemasan,” katanya sambil memberitahu operasi mencari dan menyelamat dijalankan membabitkan 10 pegawai dan anggota dari balai polis Chini dan Pekan.