
Ismail melalui catatan Facebooknya berkata, sidang media itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat terkini dan sahih mengenai situasi banjir serta persediaan yang perlu dalam menghadapi bencana itu.
“Rakyat perlu mendapatkan maklumat jelas, sahih dan terkini mengenai situasi semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri,” katanya.
Dalam catatan berkaitan di Twitter pula, Ismail berkata, beliau mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat laporan harian kepada seluruh Keluarga Malaysia mulai hari ini.
Beliau menyenaraikan urutan sidang media yang akan dimulakan oleh Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani pada 10 pagi, diikuti Panglima ATM, Affendi Buang pada 12 tengah hari.
Pada 2 petang pula ialah Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid serta Ketua Pengarah NADMA, Aminuddin Hassim pada 4 petang.
“Saya yakin laporan ini dapat memberi gambaran jelas situasi terkini bencana di seluruh negara.”
Katanya, penglibatan semua barisan hadapan kerajaan yang membantu bencana itu harus berada di tahap sentiasa bersedia.