
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim berkata, pelanggan terbabit didenda keseluruhannya RM123,000, manakala pengendali dikompaun RM25,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, operasi selama empat jam itu bermula jam 1 pagi susulan aduan awam bahawa premis berkenaan beroperasi melebihi had waktu dibenarkan, malah sehingga awal pagi.
Ketika polis memasuki premis itu, muzik masih dimainkan dengan kuat dan pelanggan asyik berhibur tanpa mematuhi SOP.
“Kami mendapati pelanggan tidak mematuhi penjarakan fizikal, malah ramai tidak mengimbas aplikasi MySejahtera,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pengunjung didenda RM1,500 setiap seorang, manakala pemilik diberi notis kompaun RM25,000.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi premis hiburan yang melanggar peraturan dengan beroperasi melebihi waktu dibenarkan.
Katanya, polis akan terus memantau kelab malam di daerah itu.