
SHAH ALAM: Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Aminuddin Hassim berkata, keluarga mangsa korban banjir akan menerima wang pengurusan kematian berjumlah RM5,000.
Katanya, wang itu antara Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
“Syarat kelayakan adalah warga Malaysia dan memiliki kad pengenalan diri yang sah. Ketika bencana berlaku, mangsa mendiami atau menduduki rumah persendirian dan wajib mendaftarkan nama dengan maklumat lengkap menggunakan nama ketua isi rumah (KIR).
“Bagi yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), mereka perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) atau ketua kampung masing-masing,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda.
Beliau berkata, BWI turut memperuntukkan RM1,000 kepada semua ketua isi rumah mangsa banjir, tidak kira mereka dipindahkan ke PPS atau tidak.
Katanya, kerajaan akan mempercepatkan penyaluran dana kepada kerajaan negeri.
Beliau meminta semua agensi terlibat dalam pengurusan banjir menyusun pasukan dan strategi dengan baik untuk menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua.
“Apa yang kita boleh belajar adalah lebih bersedia dan menyusun atur. Susunan aset, petugas, komunikasi dan jaringan bantuan perlu kita kemas kini. Komunikasi perlu kita mantapkan.
“Kalau dulu kita fokus Kelantan, Terengganu dan Pahang, mungkin kali ini kita tumpu kepada negeri lain juga.”