Jadikan projek pembangunan mesra iklim, kata Greenpeace

Jadikan projek pembangunan mesra iklim, kata Greenpeace

Aktivis berkata, banjir teruk baru-baru ini menjadi peringatan kepada pihak berkuasa mengenai kesan yang boleh dibawa pembangunan berlebihan.

Projek pembangunan perlu dikaji semula susulan banjir teruk yang melanda minggu lepas menyebabkan ribuan penduduk di beberapa negeri terjejas. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Greenpeace Malaysia menggesa agar projek pembangunan dilaksanakan dengan berorientasikan strategi pengurangan pelepasan karbon bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kesan perubahan iklim.

Jurucakap kempen kumpulan alam sekitar itu, Heng Kiah Chun berkata, kerajaan harus melaksanakan pembangunan lestari yang memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan generasi akan datang.

Beliau berkata, pengurangan kesan perubahan iklim amat penting bagi mencapai pemulihan ekonomi.

“Pembangunan projek harus menggabungkan perancangan pembangunan rendah karbon yang merangkumi penilaian kesan dan risiko yang betul,” katanya kepada FMT.

Heng Kiah Chun.

Projek pembangunan juga katanya, perlu menyeimbangkan aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Heng mengulas kenyataan Presiden Sahabat Alam Sekitar Meenakshi Raman bahawa projek pembangunan perlu dikaji semula susulan banjir teruk yang melanda minggu lepas menyebabkan ribuan penduduk di beberapa negeri terjejas.

Meenakshi berkata, lebih membimbangkan ialah apabila banyak projek lebuh raya, terowong dan penambakan terus dilakukan sekalipun dengan berlakunya perubahan iklim.

Selain itu Heng berkata, banjir itu menjadi peringatan kepada pihak berkuasa mengenai kesan yang boleh dibawa oleh pembangunan yang berlebihan.

“Tanpa ekosistem yang sihat, kita tidak dapat menikmati udara bersih, air yang selamat untuk diminum atau makanan berkhasiat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.