
PETALING JAYA: Seorang aktivis perubahan iklim menganggarkan jumlah kerugian dalam bencana banjir baru-baru ini boleh mencecah sekurang-kurangnya RM20 bilion.
Menurutnya, jumlah itu dianggarkan berdasarkan kerosakan isi rumah dan harta persendirian serta yang dialami perniagaan dan industri, termasuk kemusnahan kedai, gudang dan kilang.
Shaqib Shahril, yang pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan belia yang terlibat dengan konvensyen perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, jumlah kerugian daripada kerosakan isi rumah sahaja mungkin melebihi RM1 bilion.
Katanya, anggaran dibuat berdasarkan penyelidikan bebas prospek kewangan susulan banjir yang dijalankan antara Disember hingga Februari dan data rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyatakan bahawa jumlah tertinggi keluarga dipindahkan di enam negeri adalah 19,711 keluarga setakat 3.30 petang, 21 Dis.
“Berdasarkan maklumat ini, kerugian dianggarkan sebanyak RM985 juta. Ia mungkin lebih tinggi kerana bilangan sebenar keluarga terjejas tidak diketahui memandangkan bukan semua dipindahkan ke pusat pemindahan.”
Katanya, banjir kilat di Lembah Klang menyebabkan implikasi besar terhadap ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, Shaqib menegaskan bahawa pakar masih menunggu data lengkap untuk menentukan kesan kewangan sebenar akibat banjir memandangkan musim tengkujuh belum memuncak.
“Kami masih menunggu untuk melihat kesan daripada gelombang terakhir musim tengkujuh. Situasi semasa bukan hanya disebabkan musim tengkujuh tetapi juga kesan akibat dua taufan tropika.
“Lebih memburukkan keadaan, sistem di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak berfungsi – mereka kurang koordinasi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan harus membuat pelaburan sewajarnya bagi pencegahan bencana alam yang dianggarkan kira-kira RM1 bilion untuk kawasan perindustrian seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
Katanya, langkah pencegahan boleh merangkumi empat faktor asas, iaitu membina takungan air, kawasan tinggi, infrastruktur berdaya tahan iklim dan program pengurusan risiko bencana yang merangkumi kempen kesedaran untuk kesiapsiagaan masyarakat.