
Bagi menteri yang sedang berada di luar negara pula, beliau meminta mereka pulang segera ke tanah air untuk bersama membantu Keluarga Malaysia yang dalam kesusahan.
“Kalau mereka (menteri) yang belum bercuti dan sebagainya, saya minta menteri batalkan percutian masing-masing sehingga selesai masalah banjir ini,” katanya dalam catatan di Facebook.
Sementara itu, Ismail dipetik Bernama mengumumkan kerajaan akan menyumbang RM10,000 kepada waris mangsa korban banjir.
Katanya, beliau akan mendapatkan senarai nama mangsa korban daripada pusat bencana daerah bagi memastikan sumbangan itu disampaikan segera.
“Kita amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku dan kita akan beri sumbangan…kita akan salurkan melalui pejabat daerah dan mereka akan salurkan kepada waris mangsa.
“Difahamkan, kerajaan Pahang juga akan menyalurkan RM5,000 kepada waris mangsa terkorban,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di Bentong, Pahang.
Ismail berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta kepada Pahang dan Selangor.
Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali mengarahkan semua Ketua Setiausaha kementerian dan Ketua Pengarah jabatan serta agensi kerajaan membatalkan cuti mereka serta-merta.
Beliau berkata, ia selaras pengumuman Ismail berhubung arahan pembatalan cuti bagi semua anggota Kabinet dan mengarahkan menteri yang sedang bercuti di luar negara supaya pulang segera.
Zuki dalam kenyataan berkata, ia bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan mengharungi keadaan semasa yang dihadapi negara dan rakyat.