
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia bertujuan memudahkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) mengkoordinasikan pergerakan sukarelawan dan seterusnya menumpukan kawasan yang lebih memerlukan bantuan.
“Saya jangkakan menjelang Krismas hujung minggu ini, jumlah kehadiran (sukarelawan) akan lebih ramai, saya perlu melihat bagaimana koordinasi dapat dibuat.
“Bukan ingin menghalang (bantuan dan sukarelawan), tetapi mengelakkan sebarang pembaziran tenaga dan kerja kerana penumpuan yang kurang di satu tempat, tapi terlebih di tempat lain,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio.
Amirudin berkata, pihaknya mendapati kesesakan luar biasa berlaku di Hulu Langat semalam, berikutan ketibaan sejumlah besar petugas dan sukarelawan dari luar.
Oleh itu, beliau mengarahkan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman dan Pegawai Daerah Hulu Langat berjumpa dengan pihak terlibat bagi membantu koordinasi serta mengelakkan kesesakan dan ketidakselesaan di beberapa lokaliti.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri itu menubuhkan Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor bagi menyelaras semua bantuan dan tenaga kerja sukarelawan yang ingin membantu misi bantuan bencana banjir di kawasan terlibat.