49 kes baharu varian Omicron, 1 disyaki jangkitan tempatan, kata KJ

49 kes baharu varian Omicron, 1 disyaki jangkitan tempatan, kata KJ

Satu kes masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan merupakan jangkitan tempatan.

Sebanyak 61 kes merupakan jangkitan import dan satu kes masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan merupakan jangkitan tempatan, menurut Khairy Jamaluddin.
PUTRAJAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 49 kes baharu membabitkan varian Omicron dikesan di negara ini.

Beliau berkata angka itu menjadikan keseluruhan kes membabitkan varian Omicron di negara ini adalah sebanyak 62.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 61 kes merupakan jangkitan import dari luar negara dan satu kes masih dalam siasatan yang disyaki berkemungkinan merupakan
jangkitan tempatan.

Sebelum ini media melaporkan sebanyak 13 kes membabitkan varian Omicron telah dikesan di negara ini.

Beliau berkata, satu kes varian Omicron berkemungkinan daripada jangkitan tempatan itu dilaporkan di Sarawak.membabitkan seorang lelaki warganegara China berusia 38 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak selama tiga tahun.

“Kes telah menjalani ujian Covid-19 pada 18 Dis lalu kerana mengalami demam dan batuk sejak 13 Dis.

“Keputusan sampel didapati positif Covid-19 dan kes telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di bawah Hospital Umum Sarawak pada 20 Dis,” katanya pada Sidang Media di Kementerian Kesihatan.

Khairy juga berkata punca jangkitan kes yang lengkap divaksinasi itu masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

“Seramai dua kontak telah dikenal pasti iaitu seorang pemandu kenderaan dan seorang lagi kontak sosial.

“Kedua-dua kontak ini telah diberi arahan kuarantin di stesen kuarantin untuk tempoh 14 hari dan keputusan ujian sampel pertama bagi kedua-dua mereka adalah negatif Covid-19,” katanya.

Khairy juga berkata disebabkan penularan varian Omicron, KKM bersama lain-lain agensi telah mengambil tindakan memperkukuhkan kawalan di pintu masuk antarabangsa serta saringan ke atas golongan yang berisiko tinggi.

Katanya, mulai 22 Dis lalu, kerajaan negeri Sarawak juga telah memperkukuhkan kawalan pintu masuk antarabangsa dengan mewajibkan semua pengembara dari luar negara dikuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa yang pertama di Malaysia sebelum dibenarkan untuk memasuki Sarawak atau meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

“(Mereka) wajib memiliki keputusan RT-PCR yang negatif sebelum diberi pelepasan dari kuarantin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.