KKM kesan 405 kes Covid-19 babit mangsa banjir

KKM kesan 405 kes Covid-19 babit mangsa banjir

Menurut Khairy Jamaluddin, daripada jumlah itu sebanyak 285 dikesan di Selangor.

Menurut Khairy Jamaluddin, daripada 405 kes dikesan hanya satu kes diklasifikasi sebagai Kategori Tiga dan telah diasingkan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 405 kes Covid-19 secara keseluruhan dikesan dalam kalangan mangsa banjir setakat ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Daripada jumlah itu sebanyak 285 dikesan di Selangor, Pahang (103), Kelantan (11), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata daripada jumlah itu hanya satu kes diklasifikasi sebagai Kategori Tiga dan telah diasingkan.

“Selebihnya adalah kategori satu,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM telah bekerjasama dengan semua agensi kerajaan untuk memastikan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mematuhi SOP selain ujian Covid-19 yang turut dibuat kepada mangsa banjir yang bergejala.

“Di PPS mungkin sesak, kawasan tak luas dan penjarakan sosial agak susah.

“Kita sudah letak pegawai kesihatan seperti doktor dan jururawat di hampir ke semua PPS dan menasihatkan orang ramai mematuhi SOP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata KKM juga mengesan kes seorang lelaki warganegara Indonesia dari Malaysia dijangkiti varian Omicron.

Katanya, individu itu pulang ke Indonesia pada 10 Dis 2021 dengan ujian Covid-19 adalah negatif semasa ketibaan.

“Hasil siasatan di Malaysia mendapati, kes merupakan tahanan PATI di Depot Tahanan Semenyih apabila ditahan pada 22 Sept lalu bersama tiga lagi rakan dan keempat-empat mereka telah melakukan saringan kemasukan ke depot pada 23 Sept dan kesemuanya negatif.

“Sehingga kini, rakan kes yang pulang bersama dimaklumkan adalah negatif Covid-19 pada saringan kedua,” katanya.

Khairy berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mendapatkan maklumat mengenai kontak rapat kes serta punca jangkitan.

Katanya, komunikasi dengan pihak Kedutaan Indonesia di Malaysia dan Kementerian Kesihatan Indonesia masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes.

“KKM juga sedang bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalankan siasatan, pengesanan kontak kepada kes serta bagi langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya,” katanya.

Khairy juga berkata Arab Saudi juga akan dimasukkan antara negara berisiko tinggi yang akan memakai peranti pengesanan digital selain United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.