
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes indeks untuk kluster Karak Setia ialah seorang wanita tempatan yang disahkan positif Covid-19 pada 19 Dis lalu.
“Kes mula bergejala demam, batuk, selsema dan hilang deria bau sejak 18 Dis,” katanya dalam kenyataan.
Setakat 12 tengah hari tadi, 104 individu disaring dalam kluster itu, dengan 10 kes positif dikesan dan 94 lagi disahkan negatif virus itu.
Beliau berkata, punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di PPS itu.
Katanya, Kementerian Kesihatan turut merekodkan 99 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir, dengan 51 daripadanya membabitkan jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), 39 kes penyakit kulit dan sembilan kes gastroenteritis akut.