Saya ikut arahan KKM, tak langgar SOP, kata Peja selepas dikritik langgar kuarantin

Saya ikut arahan KKM, tak langgar SOP, kata Peja selepas dikritik langgar kuarantin

Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun tidak menjelaskan tempoh kuarantin wajib yang diarahkan KKM terhadapnya.

Ahmad Faizal Azumu berkata beliau mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan berhubung tempoh kuarantin wajib.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau tidak melanggar SOP kuarantin wajib selepas pulang dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Khamis lalu, ketika membidas segelintir pihak mempertikaikan kehadirannya ketika membantu mangsa banjir di Banting, hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan berhubung tempoh kuarantin wajib.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan tempoh kuarantin yang diarahkan oleh KKM terhadapnya.

“Saya ikut arahan KKM dan tidak melanggar SOP,” katanya kepada FMT.

Beliau turut meminta semua pihak berhenti mengecamnya berhubung kontroversi itu sebaliknya memberi tumpuan kepada bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak 18 Dis lalu.

“Mohon semua fokus kepada masalah banjir. Begitu banyak kerja perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Wanita Muda PKR Terengganu, Yuslaini Azmi mempersoalkan bagaimana pemimpin Bersatu itu boleh turun padang membantu mangsa banjir di Banting sedangkan masih dalam tempoh kuarantin wajib.

“Beliau mengakui sudah merentas ke luar negara, namun mengapa hari ini turun padang bertemu mangsa banjir sedangkan pengembara wajib menjalani kuarantin walau apa jua keputusan ujian Covid-19 mereka.

“Adakah KKM memejam mata dengan pelanggaran SOP yang jelas oleh Menteri Belia dan Sukan ini?” katanya lapor Utusan Malaysia.

Faizal antara menteri Kabinet yang dikatakan bercuti ke luar negara ketika beberapa negeri termasuk Lembah Klang berdepan banjir besar terburuk.

Semalam, Faizal menjelaskan beliau berlepas ke Dubai Rabu lalu, tetapi hanya berada di bandar raya itu selama 12 jam untuk bertemu anaknya yang belajar di luar negara selepas tidak bertemu selama hampir dua tahun kerana Covid-19.

Beliau kemudian kembali ke Malaysia sebelum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan semua anggota Jemaah Menteri membatalkan cuti sehingga banjir selesai.

KKM sebelum ini menetapkan pengembara dari luar negara yang lengkap vaksinasi Covid-19 perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari manakala individu yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksinasi perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.