
Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pada mulanya polis menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berumur 29 tahun itu yang melarikan diri dari PRP itu pada pukul 12.54 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai kemudiannya melancarkan operasi dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bagi mengesannya di sekitar kawasan berhampiran.
“Pada pukul 5.15 petang, polis menahan banduan itu di sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira empat kilometer dari PRP berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, banduan yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 2019 atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu ditempatkan di PRP berkenaan bagi tujuan pemulihan setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Penjara Kajang, Selangor.
Mohd Fazley berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau cuba larikan diri daripada tahanan yang sah.