
PETALING JAYA: Seorang bekas ahli panel pemantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan pengerusi panel itu bahawa beliau tidak membangkitkan dakwaan berkait Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kepadanya sebelum meletak jawatan dua hari lalu.
Dakwaan berkait Azam yang dirujuk oleh pakar ekonomi, Terence Gomez, itu berkait pemilikan saham dalam syarikat tersenarai awam.
Gomez menegaskan beberapa laporan mengenai dakwaan pembabitan Azam itu dilampirkan bersama e-mel kepada Borhan Dolah, pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.
“Borhan kata bahawa e-mel saya kepadanya tidak menamakan Azam, Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Apa yang tidak didedahkan ialah dalam e-mel itu, saya sertakan lima laporan dan maklumat mengenai dakwaan pembabitan Azam dalam perniagaan secara langsung dan tidak langsung,” kata Gomez dalam kenyataan.
Semalam, Borhan dilaporkan berkata, e-mel yang diterima daripada Gomez itu langsung tiada memperkatakan mengenai isu salah laku yang dikaitkan dengan Azam.
Beliau berkata, Gomez hanya meminta mesyuarat diadakan bagi membincangkan usaha memulihkan imej SPRM.
“Tiba-tiba dia (Gomez) meletak jawatan dan membangkitkan isu itu seolah-olah komuniti saya (panel PPPR) tidak ambil kisah mengenai dakwaan salah laku KP SPRM, sedangkan dia membangkitkan perkara lain untuk diadakan mesyuarat dan tidak menyentuh isu yang didakwanya ketika meletak jawatan,” katanya.
Gomez hari ini menolak penjelasan Borhan itu dan menyatakan e-mel berserta lampiran yang dihantar kepadanya jelas merujuk kepada dakwaan pembabitan Azam dan keperluan PPPR bermesyuarat mengenainya.
Beliau berkata, lampiran berkenaan juga dihantar kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Abu Zahar Ujang.
Pada 14 Dis lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah, mendakwa Azam semasa menjadi Pengarah Siasatan SPRM menjadi pemilik kepada lebih 4 juta saham dua syarikat tersenarai awam.
Sivarasa mahu siasatan dijalankan ke atas Azam untuk mengenal pasti sumber dana yang digunakan bagi membeli saham dan waran itu dan adakah aset berkenaan diisytiharkan kepada pihak atasan.
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, dilaporkan menolak usul untuk membahaskan isu itu.
Gomez berkata, isu membabitkan beliau dan Borhan tidak harus menutup keperluan “satu siasatan diadakan segera untuk menyiasat tuduhan serius mengenai pembabitan Azam dalam aktiviti perniagaan”.