
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata, individu itu berada di Arab Saudi bersama ahli keluarganya sebelum ini dan disahkan positif sewaktu menjalani kuarantin di rumah.
“Kes ini terkawal. Saringan terhadap kontak rapat didapati negatif. Namun pemerhatian dan pemantauan lanjut tetap dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menutup majlis Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri Perak semalam.
Pada 3 Dis lepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan kes pertama varian Omicron yang dikesan di Malaysia pada 2 Dis melibatkan pengembara bukan warganegara dari Afrika Selatan.
Sementara itu, Akmal meminta jemaah umrah agar mematuhi tempoh perintah kuarantin tujuh hari yang ditetapkan bagi mengelak sebarang risiko penularan, yang turut memerlukan kempen kesedaran daripada syarikat umrah dan pihak yang berkaitan.
“Kerajaan membenarkan mereka dikuarantin di rumah bagi mengurangkan kos berbanding kuarantin di hotel. Jadi kena akurlah. Tetapi ada peserta umrah yang menerima tetamu, bersalaman, keluar duduk dengan keluarga, padahal mereka kena akur dengan perintah kuarantin.
“Duduk senyap-senyap di rumah, kita bimbang virus akan merebak. Banyak usaha kerajaan telah dibuat agar penularan dapat dikurangkan dan dielakkan. Ini juga salah satu pahala selain daripada pergi umrah,” katanya dengan menambah bahawa jemaah umrah yang positif varian Omicron diberi gelang pengesanan digital khas.