
Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, ada kumpulan dalam Umno sendiri akan menekan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan PRU, sekiranya kerjasama itu ditamatkan.
Katanya, itu bukan sesuatu yang baik untuk PH, berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak, selain PH tidak bersedia mahupun mempunyai strategi untuk memenangi PRU.
Beliau berkata, satu-satunya jalan bagi PH adalah terus menyokong MoU berkenaan dan melengahkan masa untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat yang kini berang dengan cara kerajaan menangani bencana banjir.
“Mereka tahu Perdana Menteri di tahap terendah susulan pengurusan lemah menangani banjir. Beliau juga masih dilihat terlalu berlembut dengan menterinya, walaupun ramai antara mereka bercuti di luar negara ketika beberapa tempat di sini ditenggelami banjir.
“Menarik diri mungkin nampak langkah logik untuk PH, namun ia sebenarnya perlu melihat gambaran lebih besar,” katanya kepada FMT.
Dengan mengekalkan MoU itu, beliau berkata, Ismail akan mendapat sokongan diperlukan untuk terus memimpin tanpa perlu mengalah dan mengadakan pilihan raya. Beliau menggesa Ismail lebih tegas dan menunjukkan kuasanya dalam menerajui kerajaan.
Semalam, veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, PH mungkin menilai semula MoU itu, sekiranya Perdana Menteri tidak mengotakan janjinya. Katanya, objektif MoU adalah menghentikan “katak politik”.
Beliau merujuk tindakan Peter Anthony meninggalkan Warisan dua hari lalu untuk membentuk parti baharu yang lebih mesra dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pakar komunikasi politik, Syed Arabi Idid berkata, kenyataan Lim itu seperti untuk mengingatkan Perdana Menteri supaya melayan pembangkang lebih baik.
“PH marah. Pemimpinnya berfikir: ‘kenapa anda melayan kami dengan teruk, selepas kami menyokong anda di peringkat pusat’,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia hanya akan benar-benar menjejaskan hubungan mereka, jika kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng atau Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
“Jika itu berlaku, kita tahu tentunya ia mencapai tahap kritikal dan PH akan menarik diri,” katanya.