Macau Scam: Pesara awam rugi lebih RM1.6 juta

Macau Scam: Pesara awam rugi lebih RM1.6 juta

Wanita itu dihubungi seorang lelaki mendakwa dirinya ejen insurans memaklumkan mangsa mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang masih belum diselesaikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Mangsa membuat laporan polis selepas mendapati 52 transaksi pengeluaran berjumlah RM1,638,943 telah dibuat melibatkan akaun banknya.
PETALING JAYA:
Seorang pesara awam wanita kerugian lebih RM1.63 juta angkara sindiket “Macau Scam” dalam tempoh dua bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat berkata, penipuan tersebut bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ejen insurans pada 27 Okt lepas.

Collin berkata, pemanggil tersebut memberitahu mangsa dia mempunyai tuntutan insurans kemalangan yang masih belum diselesaikan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Talian mangsa kemudian dipindahkan kepada individu mendakwa dirinya sebagai Sarjan Razif, yang memberitahu bahawa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dari 2020 hingga 2021 dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya,” kata Collin, menurut laporan Bernama.

“Sarjan Razif” kemudian menawarkan diri untuk membantu mangsa menyelesaikan kesnya tetapi wanita itu perlu membuka dua akaun atas namanya untuk memberi akses kepada Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan.

“Mangsa kemudian membuka dua akaun berdasarkan arahan diberikan dan menyerahkan nama pengguna serta kata laluan kepada suspek,” katanya.

Pada 10 Nov, mangsa memasukkan wang simpanannya ke dalam akaun tersebut untuk tujuan siasatan.

Mangsa hanya menceritakan perkara itu kepada abangnya pada Selasa lepas dan diberitahu bahawa dia mungkin telah ditipu.

Apabila menyemak akaun banknya selepas itu, mangsa mendapati 52 transaksi pengeluaran berjumlah RM1,638,943 telah dibuat.

Mangsa membuat laporan polis pada keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.