PH akan dihantui masa silam jika tak ubah kepimpinan, kata penganalisis

PH akan dihantui masa silam jika tak ubah kepimpinan, kata penganalisis

Penganalisis berkata, PH masih hidup dalam dunia pra-Langkah Sheraton.

Sebelum Langkah Sheraton pada Februari 2020, PH mendapat sokongan popular dan tindakannya sebagai kerajaan yang dipilih dilihat wajar.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) akan terus dihantui persepsi negatif berkait 22 bulan pemerintahannya sebelum ini selagi tiada perubahan dalam kepimpinannya, menurut seorang penganalisis.

Mengulas mengenai pengiktirafan PH berhubung prestasi buruknya sebagai kerajaan, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, PH masih hidup dalam dunia pra-Langkah Sheraton.

Dalam Langkah Sheraton, beberapa pemimpin dalam gabungan pemerintah, terutamanya Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali, bertemu pemimpin PAS dan Umno untuk membincangkan kerjasama. Ini diikuti dengan siri peristiwa politik yang memuncak dengan kejatuhan PH.

Sebelum insiden pada Februari 2020 itu, Ahmad Fauzi berkata, PH mendapat sokongan popular dan tindakannya sebagai kerajaan yang dipilih dilihat wajar.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

“Namun kini, melainkan PH menukar kepimpinannya, ia akan dihantui oleh tempoh 22 bulan ia berkuasa itu.”

Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengaitkan kekalahan besar partinya dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini dengan kekecewaan pengundi terhadap prestasi PH semasa menjadi kerajaan persekutuan.

Kini terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan orang kuat PH mengenai sama ada berfaedah untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya sekali lagi bagi menarik angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

PH bergelut untuk meraih undi daripada majoriti orang Melayu dan Ahmad Fauzi berkata, pengundi Bumiputera menyumbang kepada kekalahan besarnya dalam PRN Melaka dan Sarawak.

“Penarikan sokongan Melayu kepada PH menunjukkan bahawa propaganda yang menuduh DAP menjalankan agendanya dalam program PH yang lebih besar dipercayai oleh ramai orang Melayu.

“Usaha PH tidak cukup untuk menentang tanggapan ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, parti-parti PH perlu menyelesaikan perselisihan faham, meninggalkan atau paling tidak, memendam kedudukan melampau yang boleh menjauhkan pengundi dan tampil dengan pendirian yang bersatu dan sederhana menjelang pilihan raya akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.