
Wong berkata, kerjasama itu antara lain bertujuan mengukuhkan pembangkang di Sarawak sekali gus diharap dapat menafikan kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pilihan raya Parlimen akan datang.
Beliau berkata, partinya tiada masa untuk memikirkan kegagalan pada PRN lalu sebaliknya akan memberi tumpuan kepada PRU akan datang yang mungkin diadakan tahun hadapan.
“PRN sudah berlalu dan GPS terus mendapat mandat mentadbir Sarawak, tetapi PSB akan terus menjalankan peranan serta berjuang untuk rakyat,” katanya menurut laporan The Borneo Post.
Menurutnya PSB tidak berputus asa ekoran kekalahan pada PRN yang menyaksikan parti itu hanya berjaya mengekalkan empat kerusi, iaitu Batu Lintang, Engkilili, Bawang Assan dan Ba’kelalan.
Katanya, PSB mempunyai sumber terhad berbanding GPS, selain melihat kekangan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 antara punca partinya gagal menang lebih banyak kerusi.
“PSB mencatatkan undi popular kedua tertinggi dengan 18.69%. Ini menunjukkan bahawa PSB juga bukan calang-calang parti,” katanya.
Menurutnya, tiada guna menuding jari ke arah mana-mana pihak memandangkan PRN telah berakhir, malah PSB juga telah melakukan “post mortem” untuk membolehkan parti mengatasi sebarang kekurangan.
“Politik adalah perjalanan yang panjang dan kita perlu mematuhi kepercayaan, objektif serta matlamat dalam kita bergerak ke hadapan,” katanya.
Pada PRN 18 Dis lalu, GPS menang besar apabila meraih 76 daripada 82 kerusi manakala pembangkang hanya menang enam kerusi.
DAP sekadar menang dua kerusi, iaitu di DUN Padungan dan Pending manakala PKR dan Amanah gagal meraih sebarang kerusi.