
Menurut laporan Sinar Harian, Mohd Muhazzam Shah Mohd Salem, 36, didakwa merogol mangsa berusia 17 tahun dalam bilik tidur sebuah rumah di tingkat 1 Blok Biduri Apartment Bukit Permata, Lumut sekitar jam 11 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Bagi kesalahan itu, tuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli manakala tertuduh diwakili peguam Fahmi Izzudin Jefri.
Fahmi Izzudin memohon mahkamah memberi jaminan rendah kerana anak guamnya yang berpendapatan kira-kira RM2,900 sebulan telah berkahwin serta mempunyai tiga anak berusia satu hingga enam tahun, selain menanggung ibu bapa yang uzur.
Hakim Norita Mohd Ardani membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 11 Februari 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen.