
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) tidak boleh digunakan untuk menahan individu dikaitkan dengan perjudian dalam talian.
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu dengan membenarkan permohonan habeas corpus difailkan 25 warga China yang ditahan polis pada 2020 kerana dikaitkan dengan perjudian dalam talian.
Mahkamah memerintahkan mereka dibebaskan daripada tahanan.
Tengku Maimun berkata, perjudian dalam talian tidak termasuk dalam definisi jenayah “terancang” atau “ganas”, yang ditetapkan di bawah Perkara 149(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 149 Perlembagaan menyatakan Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk mencegah tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam. POCA digubal mengikut peruntukan itu.
Hakim lain yang turut mendengar pemohonan habeas corpus itu ialah Mohd Zawawi Salleh dan Nallini Pathmanathan.
Peguam Gobind Singh Deo, Haijan Omar, Jacky Loi dan Preakas Sampunathan mewakili 25 warga China itu, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Farah Ezlin Yusop Khan mewakili Kementerian Dalam Negeri.
Loi memberitahu FMT, semua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Kemayan di Pahang.
“Kami akan menyerahkan perintah mahkamah untuk membebaskan mereka,” katanya.
Sementara itu, Gobind berkata, pertuduhan terhadap 25 suspek itu tidak merujuk jenayah terancang dan oleh itu “tidak mencukupi untuk termasuk dalam POCA dibaca bersama Perkara 149(1)(a)”.
Pada 2020, Bukit Aman dilapor memperhebatkan serbuan untuk menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang beroperasi di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ketika itu, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang didakwa terlibat di bawah POCA serta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.