
PETALING JAYA: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dan seorang jurutera profesional ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000 bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 52 dan 41 itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru sekitar 7.00 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, pada 2016 hingga 2020, kedua-dua suspek bersubahat mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di daerah Segamat, Johor bagi projek pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.
Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini bagi mengemukakan permohonan reman,” kata beliau.
Sementara itu, kedua-dua mereka ditahan direman enam hari bermula hari ini selepas tempoh reman sehingga 15 Jan dikeluarkan oleh Majistret Nurmardiana Mamat di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.