‘Mana maruah dia’, soal Muhyiddin selepas Mazlan Bujang keluar parti

‘Mana maruah dia’, soal Muhyiddin selepas Mazlan Bujang keluar parti

Pengerusi PN berkata tindakan itu juga tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.

Muhyiddin Yassin berkata tindakan Mazlan Bujang keluar Bersatu tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri sudah terbubar.
PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ketua Bersatu Tebrau Mazlan Bujang yang keluar parti hari ini sebagai tidak bermaruah.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, tindakan Mazlan tidak menjejaskan persiapan parti menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Katanya, ia juga tidak memberi apa-apa kesan kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah terbubar.

“Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.

“Dia nak masuk Umno? Dia fikir Umno akan calonkan dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum DUN terbubar, itu cerita lain.

“Sekarang sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang?” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau mengulas tindakan ADUN Puteri Wangsa itu yang melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Muhyiddin berkata, Mazlan sepatutnya tidak mengambil langkah berkenaan kerana bekas Ketua Bersatu Johor itu juga memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

“Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai Exco dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan di manakah pendirian dia.

“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Barisan Nasional (BN) tidak akan berdepan laluan mudah meskipun PN dianggap “underdog”.

Beliau berkata, kekalahan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu yang menunjukkan rakyat menolak parti itu perlu diambil kira.

“Saya ambil pendirian bahawa walaupun PN ‘underdog’, kita tidak boleh memberi laluan mudah kepada Umno untuk membentuk kerajaan negeri begitu sahaja.

“Saya mengingatkan dalam PRU pun mereka kalah dan dapat dilihat orang Johor sudah bertindak begitu yang membuktikan mereka (rakyat) peka tentang apa yang mereka mahu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.