
PETALING JAYA: Polis menafikan dakwaan bahawa pasukan itu tidak menjalankan siasatan berhubung satu kemalangan jalan raya melibatkan anak bekas Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Serdang, A A Anbalagan, menyifatkan dakwaan itu tidak berasas kerana kes itu dibuka selepas laporan diterima.
“Kuasa untuk menutup mana-mana siasatan bukan di bawah bidang kuasa polis dan atas sebab itu sangat mustahil wujudnya campur tangan mana-mana pihak.
“Semua langkah perlu dalam prosedur siasatan telah dilaksanakan sepenuhnya, termasuk membuat ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyusul ciapan tular di Twitter yang mendakwa pihak berkuasa itu tidak menjalankan siasatan berhubung kemalangan melibatkan anak bekas Pengarah SB Bukit Aman.
Anbalagan menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai tohmahan tidak berasas itu kerana pihaknya masih menunggu keputusan ujian toksikologi sampel darah daripada Jabatan Kimia.
“Polis akan menjalankan siasatan seadil-adilnya kepada kedua-dua pihak berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, keadilan meliputi hak bagi mangsa serta yang orang sedang disiasat dan dakwaan seperti itu hanya bertujuan menjatuhkan reputasi polis untuk kepentingan peribadi pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut ciapan laman sosial akaun “Edisi Siasat”, seorang individu yang bertugas di sebuah hospital kerajaan terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.