
PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawainya mengeluarkan kompaun kepada tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) kerana melanggar SOP penjarakan fizikal ketika menghadiri sebuah majlis di Johor hari ini.
Pemimpin terbabit adalah Bendahari Agung BN yang juga Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein, Presiden MIC, SA Vigneswaran dan Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri, Hasni Mohammad.
Turut dikompaun ialah penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di Kota Iskandar petang tadi.
“Saya telah mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan keluarkan kompaun kepada Hishammuddin, Hasni, Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir dan penganjur di bawah Akta 342.
“KKM akan terus pantau SOP sempena pilihan raya negeri (PRN) Johor,” kata Khairy dalam catatan Twitter.
Tindakan itu menyusul satu klip video menunjukkan pemimpin BN ketika menghadiri majlis itu tidak mengamalkan penjarakan fizikal.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, mengakui kesalahannya tidak mematuhi SOP Covid-19.
“Saya hadir sebagai tetamu dan saya terima, memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP tadi.
“Tetapi, salah tetap salah. Tiada sesiapa melebihi undang-undang, termasuk saya. Ini harus jadi pengajaran kepada semua,” tulisnya dalam Twitter.